Rabu, 21 April 2010
Kristus Berbelas Kasihan terhadap Emosi Manusia
Dan ketika Yesus dan murid-murid-Nya keluar dari Yerikho, orang banyak berbondong-bondong mengikuti Dia. Ada dua orang buta yang duduk di pinggir jalan mendengar, bahwa Yesus lewat, lalu mereka berseru: "Tuhan, Anak Daud, kasihanilah kami!" Tetapi orang banyak itu menegor mereka supaya mereka diam. Namun mereka makin keras berseru, katanya: "Tuhan, Anak Daud, kasihanilah kami!" Lalu Yesus berhenti dan memanggil mereka. Ia berkata: "Apa yang kamu kehendaki supaya Aku perbuat bagimu?" Jawab mereka: "Tuhan, supaya mata kami dapat melihat." Maka tergeraklah hati Yesus oleh belas kasihan, lalu Ia menjamah mata mereka dan seketika itu juga mereka melihat lalu mengikuti Dia. (Matius 20:29-34)
Adakah kita sedar bahawa di persekitaran kita banyak individu yang mencari kesembuhan fizikal dan batin. Pernahkah kita mengambil kisah akan mereka yang haus dan lapar akan firman Tuhan. Atau mereka yang rindu untuk menjamah sakramen-sakramen Tuhan? Saya bayangkan sekiranya Yesus, mengatakan kepada orang buta itu, "kamu pendosa, tidak layak menerima rahmatKu". Nah, adakah kita mengenali saudara atau rakan-rakan kita mahupun ahli keluarga kita sendiri yang sudah tidak lagi menaruh harapan ke Gereja? Atau sudah ditolak hak untuk menerima sakramen komuni dan perkahwinan atas sebab syarat-syarat yang dikenakan oleh gereja-gereja setempat? Apabila kita membaca rangkap Injil Kudus diatas, kita mengenal bahawa Tuhan Yesus mempunyai peribadi yang penuh belas kasihan. Dia menyayangi dan menjemput semua manusia untuk layak dihadapannya. Tuhan Yesus ingin menunjukkan kasih-Nya yang tak terbatas atau dalam bahasa Inggeris unconditional love yang bermaksud mengasihi tanpa syarat. Sering sekali kita mendengar pasangan Katolik yang sudah bercerai dan berkahwin kembali tidak boleh(tidak layak) menerima sakramen komuni kerana mengikut doktrin Gereja Katolik Roma, mereka melanggar 'perjanjian kudus'. Nah, sampai bila jiwa ini harus disisih Gereja untuk mengambil bahagian dalam misteri penyelamatan kalau pasangan cerai itu sudah bertobat dan hidup bersama suami/isteri baru mereka dengan penuh kasih dan taat kepada ajaran Kristus?
Kadang-kadang , disebabkan kedagingan manusia, berlaku penyelewengan, penderaan, penipuan atau kekecewaan di dalam perkahwinan itu sehingga memudaratkan individu dan anak-anak mereka. Pasangan tersebut haruslah menjalani kaunseling dan kesembuhan rohani. Sekiranya perdamaian tidak dapat dicapai, pasangan itu harus bertanggungjawab akan keputusan mereka sekiranya perceraian harus dilaksanakan demi kebaikan emosi dan fizikal pasangan itu serta anak-anak mereka. Pasangan yang bercerai haruslah diberi layanan pastoral yang setara dengan umat yang lain kerana kita harus berbelas kasihan seperti Bapa berbelas kasihan
(lihat Lukas 6:36).
Oleh kerana Gereja Katolik yang "Independen" bukanlah Gereja yang di bawah kekuasaan Uskup Romawi, Gereja Katolik tersebut yang dipanggil "Autocephalous" (bermaksud Gereja yang mempunyai hak kekuasaan pentadbiran sendiri tanpa pengaruh kuasa mana-mana Uskup) tidak terikat kepada disiplin atau Katekismus yang wajib dipatuh bagi umat Katolik Roma. Jadi adakah Gereja Katolik Bebas di seluruh dunia ini cuba mencabar keberadaan Gereja Roma? sama sekali tidak! Adakah Gereja Katolik Bebas ini bermisi untuk "merampas" umat Gereja Roma? tentu juga tidak! Jadi apakah pelayanan Katolik Bebas? Ya, kami mahu menjangkau umat-umat Katolik atau Kristian yang menjadi asing atau maaf 'buangan' kerana tidak layak mengikuti Liturgi Gereja. Kami dipanggil untuk membawa umat kembali kepada "meja perjamuan" Tuhan tanpa mengongkong peribadi itu. Kami dipanggil untuk menjadi agen Kerahiman Ilahi Tuhan Yesus Kristus bahawa selagi dunia ini masih bernafas, selagi itulah belas kasihan Bapa itu hidup kerana selepas kerahiman, penghakiman akan tiba. Dan apabila penghakiman itu datang, tidak akan ada lagi kerahiman. Kerahiman itu adalah Yesus, yang mati bagi kita, yang sepatutnya menanggung kebebalan dosa kita sendiri. Di dalam Yesus, Roh Kudus diberikan kita sebagai Penghibur dan menjadikan pengalaman hidup dengan Kristus secara peribadi menjadi nyata di dalam hidup kita.
Semoga Roh Kudus bersaksi di dalam hidup anda mengenai Kerahiman Ilahi Tuhan Yesus. Semoga keajaiban itu nyata di dalam hidupmu. Semoga lidah anda diurapi Roh untuk memuji Allah Bapa disyurga. Semoga lutut anda kembali berlutut di hadapan Sakramen Mahakudus. Semoga doa para malaikat dan Orang Kudus menyertai anda semua. Di dalam nama Yesus, iman sebesar sesawi memindahkan gunung di hidup anda. Keluarlah dari belenggu dosa, keluarlah dari belenggu manusiawi yang sia-sia, keluarlah dari kongkongan Iblis, dan gapailah mahkota kehidupan kekal bersama tuntunan Bunda Maria, seiring berjalan dalam doa, memuliakan Allah Bapa di syurga melalui Yesus, yang bertakhta dengan Roh Kudus, selama-lamanya. Amen!!!
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar